Visualisasi akhirat

0
1088

“Pucat muka.”

-“Nak masuk mahkamah dah. Kena bersedia.”

Saat berada di pihak yang tertuduh, harus usaha pertahankan diri. Kenali selok-belok kes. Bersedia segala kemungkinan. Pastinya, hari perbicaraan itu terasa hari yang amat besar. Penentu masa depan.
.
.
.
Pernah berada dalam situasi sebegitu? Terlibat kes mahkamah lalu berusaha untuk menang. Belajar segala apa yang boleh ditelaah. Rujuk kes-kes sebelum yang pernah menang. Pastinya bersungguh-sungguh buat persediaan.

Dan, ada satu lagi “mahkamah” yang jauh lebih besar dan dahsyat. Andai manusia lalai terhadap “mahkamah” ini, pasti menyesal yang tak berguna lagi. Betapa besarnya hari tersebut sehinggakan mampu membuatkan kanak-kanak beruban.

=====

Maka bagaimana kamu dapat menjaga dan menyelamatkan diri kamu (dari azab) Hari yang huru-haranya menyebabkan kanak-kanak menjadi tua beruban?

Al-Muzammil, 73 : 17

=====

 

Perjalanan seorang manusia realitinya akan melalui beberapa perhentian.
Dimulakan dengan perhentian pertama. Itulah Dunia.
Beruntunglah mereka yang perhentian Dunianya terisi dengan yang selari dengan skema jawapan Tuhan. Tidak menyimpang daripada pedoman wahyu

Dan entah berapa ramai pula tertipu dengan tipu daya permainan dunia yang sangat sekejap & sementara.

=====

Ketahuilah bahawa kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah permainan dan hiburan serta perhiasan, juga bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah. Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.

Al-Hadid, 57 : 20

=====

Dunia : Perhentian sebentar Cuma.
Perhentian sebentar ini disusuli perhentian di alam barzakh. Jiwa yang beriman akan berada di illiyyin. Manakala jiwa pendosa akan berada di sijjin.

=====

Tidak sepatutnya (mereka melakukan perbuatan yang salah itu dan melalaikan hari akhirat). Sesungguhnya “kitab suratan amal” orang –orang yang berdosa itu (didaftarkan) dalam sijjiin. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia sijjin itu. Ialah (tempat simpanan) kitab catatan yang jelas nyata.
Al-Mutoffifin, 7-9

Ingatlah wahai manusia! Sesungguhnya “kitab suratan amal” orang-orang yang berbakti adalah dalam ‘illiyiin. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia illiyiin itu? Ialah (tempat simpanan)kitab catatan yang jelas nyata.
Mutoffifin, 18-20

 

=====

Sampai suatu ketika, manusia akan dibangkitkan di padang mahsyar.

Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
Al-Baqarah, 2 : 148

=====

Pada hari kebangkitan, semua manusia berada dalam keadaan yang amat genting.

====

Kemudian (ingatlah keadaan yang berlaku) apabila datang suara jeritan yang dahsyat, -Pada hari seseorang itu lari dari saudaranya, Dan ibunya serta bapanya, Dan isterinya serta anak-anaknya; Kerana tiap-tiap seorang dari mereka pada hari itu, ada perkara-perkara yang cukup untuk menjadikannya sibuk dengan hal dirinya sahaja.
Abasa, 80 : 33-37

=====

Bergeraklah orang beriman menuju perhentian berikutnya. Di Hisab, segala amalnya diperhitungkan. Tiada walau satu pun amal yang akan dikesampingkan. Kesemuanya pasti dihitung.
Setelah dihitung, inilah hari “Report card”. Ada yang bahagia menerima buku catatan dengan tangan kanan. Ada yang celaka menerima buku catatan dari arah belakang.

=====

Pada hari itu, kamu semua dihadapkan (untuk hitungan amal); tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi dari perkara-perkara kamu yang tersembunyi. Maka sesiapa yang diberikan kitab amalnya dengan tangan kanannya, maka dia akan berkata “Nah! Bacalah kamu kitab amalku ini! Sesungguhnya aku telah mengetahui dengan yakin , bahawa aku akan menghadapi hitungan amalku.”
Al-Haaqah, 69: 18-20

Adapun orang yang diberikan kitab amalnya dengan tangan kirinya, maka dia akan berkata “Alangkah baiknya kalau aku tidak diberikan kitab amalku ini. Dan aku tidak dapat mengetahui hitungan maalku.Alangkah baiknya kalau kematianku di dunia dahulu, menjadi kematian pemutus (yang menamatkan kesudahanku , tidak dibangkitkan lagi.”
Al-Haaqah, 69 : 25-27

=====

Selanjutnya di mizan, nilai kebaikan manusia itu akan ditimbang.

=====

Maka sesiapa yang berat timbangan amal baiknya maka mereka itulah orang-orang yang berjaya. Dan sesiapa yang ringan timbangan amal baiknya, maka merekalah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri, mereka kekal di dalam neraka Jahannam
Al-Mukminun, 23 : 102-103

=====

Kafir akan terus ke siraath. Manakala orang yang beriman dan munafiq akan melalui perhentian berikutnya. Itulah perhentian yang menentukan sama ada diri benar-benar beriman atau munafiq. Inilah perhentian yang memisahkan antara orang yang beriman atau munafiq.

Saat itu, orang yang beriman akan diuji melalui sujud.

Siapa yang bersujud dengan ikhlas di dunia akan dapat bersujud di akhirat kelak. Namun, golongan “muslim” yang sewaktu di dunia berpura-pura sujud semata-mata untuk riak atau ditunjuk pada manusia lain, mereka akan mendapati bahawa nikmat sujud seorang hamba itu ditarik balik di akhirat kelak.

=====

(Ingatkanlah orang-orang yang tidak beriman) akan masa didedahkan kedahsyatan huru-hara (hari kiamat) dan mereka diseru supaya sujud maka mereka tidak dapat melakukannya. Sambil pandangan mereka tunduk malu, serta mereka diliputi kehinaan; dan sesungguhnya mereka (di dunia) dahulu telahpun diseru supaya sujud (tetapi mereka enggan) sedang mereka dalam keadaan sihat.
Al-Qolam, 42-43

=====

Ketika itu, terbuktilah siapa yang benar beriman pada Allah dan siapa yang tidak.
Saat itu, keadaannya amat gelap. Kedua-dua golongan mukmin dan munafiq diberikan cahaya. Namun, kualiti cahaya bagi kedua-dua golongan itu ternyata berbeza.

====

(Ingatlah) semasa orang-orang munafik, lelaki dan perempuan (yang sedang meraba-raba dalam gelap-gelita pada hari kiamat), berkata kepada orang-orang yang beriman: “Tunggulah kami, biarlah kami mengambil sedikit dari cahaya kamu”. (Lalu) dikatakan (kepada mereka secara mengejek-ejek): “Baliklah kamu ke belakang, kemudian carilah cahaya (di sana)”, serta diadakanlah di antara mereka (yang beriman dan yang munafik itu) sebuah tembok yang mempunyai pintu, di sebelah dalamnya mengandungi rahmat (Syurga dan nikmat), dan di sebelah luarnya, dari situ terdapat (neraka) dan azab seksa.

Al-Hadid, 57 : 13

=====

Saat melihat cahaya golongan munafiq malap, golongan beriman takut seandainya cahaya mereka turut malap. Lalu terus berdoa kepada Allah

=====

…Cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba dalam gelap-gelita”: Wahai Tuhan kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami, dan limpahkanlah keampunan kepada kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa ats tiap-tiap sesuatu.”
At-Tahrim, 66 : 8

=====

Selesai perhentian yang membuktikan iman yang benar, akhirnya semua golongan akan dihadapkan neraka. Di sinilah perhentian siraat yang akan membawa ke syurga andai berjaya melepasinya. Sejauhmana seseorang itu berjaya melepasi titian siraat adalah bergantung bagaimana kehidupannya di dunia dalam melalui jalan-jalan yang terbentang. Andai siratal mustaqim iaitu jalan kehidupan yang selari Quran yang dipilih, insyaAllah selamatlah dirinya dalam melalui siraat di akhirat.

=====

Oleh itu, demi tuhanmu (wahai Muhammad), sesungguhnya Kami akan himpunkan mereka berserta syaitan-syaitan di padang mahsyar, kemudian Kami akan bawa mereka duduk berlutut di keliling neraka Jahannam.
Maryam, 19 : 68-69

Kemudian Kami akan selamatkan orang-orang yang bertaqwa dan kami akan biarkan orang-orang yang zalim tinggal berlutut di dalam neraka itu.
Maryam, 19 : 72

=====

Bayangkan, semua golongan dibawa menghadap neraka. Keadaan dahsyat yang amat menakutkan. Saat mukmin berjaya melepasinya sehingga sampai ke kampung syurga, apa lagi yang mahu diucapkan melainkan kesyukuran terhadap Robb yang merahmatinya dengan keselamatan.

=====

Dan Kami cabutkan segala dendam dan hasad dengki dari hati mereka (di dalam syurga) yang mengalir beberapa sungai di bawah (tempat) masing-masing, dan mereka pula bersyukur dengan berkata “segala puji tertentu bagi Allah yang telah memberi hidayah petunjuk untuk ini padahal Kami tidak sekali-kali akan memperoleh petunjuk kalau Allah tidak memimpin kami(dengan taufiqNya); sesungguhnya telah datang rasul-rasul Tuhan kami dengan membawa kebenaran” Dan mereka diseru : “Itulah syurga yang diberikan kamu mewarisinya dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan.”
Al-‘Araf, 7 : 43

=====

.
.
.
Selesai crash course perjalanan akhirat. Penyampaian ustazah Aisha Altaf ini menjentik hati betapa pengasihnya Robb. Dia mengkhabarkan bahkan menjelaskan secara terperinci suasana akhirat. Menjentik hati yang lalai bahawa usia berbaki singkat ini bukan untuk disia-siakan.
Iman.
Amal soleh.

Ini, dua syarat utama.
Syurga itu bukan boleh dimasuki dengan angan-angan kosong.

Dan teruslah menyemai taqwa kepada Tuhan. Proses sepanjang kehidupan menyuburkan iman.

Comments

comments

MOHON KOMEN BALAS

Please enter your comment!
Please enter your name here