Syukur 3 dimensi

0
1671

 

Dia menyendiri di dalam bilik. Merenung nasib diri.

“Takde orang yang sayang aku. Baik aku mati je lah.”

Apabila rasa itu terlalu menyesak, bagaimana untuk merawat jiwa yang kacau?

_______

Ada ketika, terbit rasa diri dipinggirkan, ditinggalkan, dibiarkan, tidak dihargai. Ketika rasa seolah-olah seluruh manusia tidak peduli, selama mana mahu membiarkan rasa itu memakan diri?

Memang sebenarnya, tiada yang peduli?

Benar-benar tiada yang memberi perhatian?

Dunia terasa gelap tatkala nilai cinta dan kasih sayang diletakkan pada lensa yang batil, melihat dunia daripada perspektif sempit. Dalam keadaan tidak sedar memasukkan diri dalam sistem yang tidak berfungsi, yang dicipta diri sendiri.

Jika suami saya tidak gembira, tidak senyum dan tidak memuji masakan saya, itu maknanya dia tidak sayangkan saya. Saya tiada nilai, tidak dihargai di sisi suami saya.

Jika semasa konvo nanti, tiada yang berikan saya hadiah, itu maknanya saya tiada kawan yang menyayangi saya.

Jika saya tak dapat anak selepas 10 tahun perkahwinan, itu tandanya Tuhan tidak sayangkan saya.

Kalau kita sekeluarga anak-beranak tiada baju sedondon, sama warna, itu tandanya ikatan kita rapuh.

Eh, dari mana datangnya formula-formula hukum alam sebegini? Siapa yang cipta? Siapa yang tanamkan separa sedar?

Sebelum menagih, mengharap kasih sayang dan perhatian daripada sesama, kecewa saat tidak mendapatkannya, mari selami beberapa mesej didikan Tuhan yang diulang paling kurang 17 kali setiap hari.

***

 

الْحَمْدُ لِلَّـهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ ﴿٢الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ ﴿٣ مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ ﴿٤

Segala pujian kesyukuran buat tuhan sekalian alam, Yang maha pemurah lagi maha penyayang, yang menguasai hari pembalasan.

Al-fatihah, 1 : 2-4

 

***

 

Dimensi #1 : Syukur pada Tuhan sekalian alam

Andai hati itu jatuh cinta pada manusia yang banyak membantu,banyak memberikan kebaikan bahkan suka beri hadiah! Pasti, Allah lah yang paling layak untuk manusia itu jatuh hati, jatuh cinta. Kerana tiada yang boleh mengatasi segala kebaikan yang telah Dia kurniakan kepada setiap hambaNya. Sebelum kecewa dengan tiadanya perhatian dan penghargaan daripada manusia, mengapa tidak memikirkan perhatian dan pengawasan daripada yang sentiasa ada?

Berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi. sesungguhnya, allah tidak menyukai orang yang berbuat kerosakan.

al-qosas, 28 : 77

Sebelum bersedih dan kecil hati dengan apa yang tidak diberikan manusia, besarkan jiwa terlebih dahulu dengan bahagia menerima setiap kurniaanNya yang tidak putus-putus dari lahir.

Dia (musa) menjawab “Tuhan kami ialah tuhan yang telah memberikan bentuk kejadian kepada segala sesuatu, kemudian memberinya petunjuk.”

toha, 20 : 50

Pilih satu waktu.

Tatap cermin di hadapan.

Apa yang dapat diperhatikan?

Siapakah yang menciptakan satu jasad itu?

Bayangkan, setiap sel pada jasad itu diberikan petunjuk akan peranan-peranannya. Rambut tahu selaju mana untuk tumbuh. Bulu kening tahu pada ketika mana harus berhenti menumbuh. Jantung tahu ritma apa untuk diikuti bagi mengepam darah. Kesemuanya petunjuk yang diberikan Tuhan kepada setiap sel sehingga seorang manusia itu mampu hidup tanpa kesulitan mengurus tubuh sendiri.

Bayangkan andai jasad manusia itu harus diurus manusia sendiri. Harus tahu saat bilakah organ hormon perlu merembeskan hormon-hormonnya. Harus tepat mengawal kemasukan darah ke dalam buah pinggang untuk ditapis.

Melihat diri sendiri sahaja sudah terlalu banyak untuk disyukuri. Terasa cukup disayangi Tuhan. Bukankah kasih sayang Tuhan itu sudah cukup?

Tuhan yang telah menjadikan bumi sebagai hamparan bagimu dan menjadikan jalan-jalan di atasnya bagimu dan yang menurunkan air hujan daripada langit. Kemudian tumbuhkan dengan air hujan itu berjenis-jenis aneka macam tumbuh-tumbuhan. Makanlah dan ternaklah haiwan-haiwanmu. sesungguhnya, demikian itu, terdapat tanda-tanda kebesaran Allah bagi orang-orang yang berakal.

toha, 20 : 53-54

 

Dimensi #2: Syukur Dialah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Saat mahu menempuh perjalanan panjang, berjauhan daripada kedua-dua ibu bapa yang selama ini menjaga dan memelihara, mahukah pesan dan amanat daripada mereka? Agar pesan itu menjadi pegangan dan bimbingan, bukti kasih sayang orang tua kepada anak yang dikasihi.

Bagaimana dengan perjalanan seorang hamba yang diturunkan daripada syurga, keluar daripada kampung syurga yang indah? Bukti kasih sayang Tuhan kepada  hambaNya yang utama adalah turunnya wahyu , kalam Tuhan yang menjadi bimbingan buat manusia di dunia.

Dia tidak pernah meninggalkan kita sendirian tanpa pesan.

kami berfirman ” turunlah kamu semua daripada syurga! kemudian jika datang kepadamu petunjukku maka barangsiapa mengikuti petunjukku nescaya tiada ketakutan dan dukacita ke atas mereka.”

al-baqarah, 2 : 38

Sayangnya Tuhan kepada hambaNya dibuktikan dengan didikan wahyu daripada Ar-Rahman.

Ar-Rahman. Yang mengajarkan Al-Quran. Dia menciptakan manusia. Dia mengajarnya pandai berbicara.

Ar-Rahman, 55 : 1-5

Sehingga akhirnya, petunjuk wahyu inilah yang membentuk sudut pandang seorang manusia. Melahirkan jiwa-jiwa kental dan tabah menghadapi ujian kehidupan yang sebentar cuma. Melahirkan manusia-manusia  pelik yang bertindak berdasarkan pedoman Tuhan, bukan sekadar logik akal.

Menjadi manusia pelik. Bersyukur dikurniakan ujian kerana ujian itu membuka peluang untuk bersabar selanjutnya menjemput rahmat Tuhan.

dan kami pasti akan mengujimu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata “Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun.

Mereka itulah orang-orang yang memperoleh keampunan dan rahmat daripada tuhannya dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.

al-baqarah, 2 : 155-157

“Eh, kenapa nak bersyukur pada Ar-Rahman ketika Dia beri ujian?”

-“Kerana Dia menjanjikan solawat dan rahmat buat mereka yang sabar tatkala diuji. Andai tidak diuji, mana mungkin dapat membuktikan sabar sehingga layak menjadi calon yang mendapat solawat dan rahmat.”

“Kenapa nak rahmat?”

Untuk memahami betapa besarnya rahmat Tuhan sehingga nilainya jauh lebih besar berbanding aset diri yang diuji dikurangkan nikmatnya, mari renungi kisah Pemuda Kahfi.

Mereka adalah contoh manusia yang mendapat Rahmat.

Mereka kenyang dan hidup meskipun tanpa makanan selama 309 tahun.

Mereka sihat tanpa sebarang “bed sores” meskipun tidur selama 309 tahun.

RahmatNya tidak terjangka, tidak terbayang dek akal, tidak terjangkau fikiran. Terlalu besar.

Justeru, bersyukurlah dalam setiap kesempatan dan ruang untuk beroleh rahmat daripada Ar-Rahman Ar-Rahim.

Bersyukurlah jika diuji tempat kerja yang tidak soleh, diuji sulitnya taubat setelah bergelumang dengan dosa yang masih sukar untuk keluar. Bersyukurlah dengan cara melihatnya peluang meraih rahmat dengan memilih kesanggupan melakukan hijrah (tukar tempat kerja/ meninggalkan maksiat) dan jihad (bersungguh-sungguh).

Ini kerana beriman, berhijrah dan berjihad, kesemuanya syarat menjemput rahmat daripada Ar-Rahman Ar-Raheem.

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan orang-orang yang berhijrah dan berjihad di jalan allah, mereka itulah yang mengharapkan rahmat daripada allah. allah maha pengampun lagi maha penyayang.

al-baqarah, 2 : 218

Syukur pada Ar-Rahman Ar-Raheem.

Syukur dengan nikmat Al-Quran.

Syukur dengan segala ujian sebagai peluang menjemput rahmatNya.

 

Dimensi #3 : Syukur pada Penguasa/ Pemilik Hari Pembalasan

Bayangkan seorang jutawan yang memiliki sebuah banglo mewah lengkap segala peralatan dan kereta, tiba-tiba meminjamkan segala miliknya tanpa bayaran untuk tempoh waktu 5 tahun. “Nak sambung belajar oversea” katanya. Lalu, berbahagialah dia yang diberi pinjam, memanfaatkan segala aset si kaya sepanjang 5 tahun.

Cukup tempoh, dia memulangkan aset yang dipinjam tanpa rasa sedih kerana memang sudah dipasak sejak mula “Aku pinjam je semua ni. Cukup 5 tahun aku pulangkan.”

Bagaimana pula dengan status seorang hamba yang meminjam segala milik Tuhan sepanjang kehidupannya di dunia ini? Akan tiba satu waktu, segala miliknya adalah dalam kekuasaanNya. Jangankan harta mahupun anak-anak, bahkan seorang manusia itu tidak memiliki dan menguasai kulit-kulit diri mereka sendiri pada Hari Pembalasan. Kerana segalanya adalah milikNya pada Hari Pembalasan.

Dan mereka berkata kepada kulit mereka “Mengapa kamu menjadi saksi terhadap kami?” (kulit) mereka menjawab “Yang membuatkan kami dapat berkata-kata adalah Allah, yang (juga) menjadikan segala sesuatu dapat berkata-kata, dan Dialah yang menciptakan kamu dan hanya kepadaNya kamu dikembalikan.”

Fussilat, 41 : 21

 

Akan tiba suatu waktu, segalanya adalah milik Allah. Dialah Yang Menguasai Hari Pembalasan.

Pada hari ketika roh (Jibril) dan para malaikat berdiri bersaf-saf, mereka tidak berkata-kata, kecuali siapa yang telah diberikan izin oleh Tuhan Yang Maha Pemurah dan dia hanya mengatakan yang benar. Itulah hari yang pasti terjadi. Maka siapa yang mahu, tentu dia mengambil jalan kembali (beramal soleh) kepada Tuhannya.

An-naba’, 78 : 38-39

Menyedari hakikat ini, bagaimana seharusnya seorang hamba itu bersyukur pada Yang Menguasai Hari Pembalasan?

Bukankah Dia yang memiliki segalanya telah memberikan milikNya kepada kita sementara waktu, sepanjang kehidupan di dunia ini?

Dia telah meminjamkan jasad tubuh ciptaanNya agar manusia mampu menggunakannya, membangun amal soleh.

Dia telah meminjamkan seluruh bumi ini yang ditundukkan kepada manusia agar manusia mampu memakmurkannya, membuat kebaikan, membuktikan taat kepada Tuhan

Allah yang menundukkan laut untukmu agar kapal-kapal dapat berlayar di atasnya dengan perintahNya dan agar kamu dapat mencari sebahagian daripada kurniaanNya, dan agar kamu bersyukur.

dan dia menundukkan apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi untukmu semuanya (sebagai rahmat) daripadanya. sesungguhnya dalam hal yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran allah) bagi orang-orang yang berfikir.

al-jatsiyah, 45 : 12-13

Tatkala seorang mukmin itu melafazkan Maliki Yaumiddin 17 kali setiap hari melalui solatnya, sudahkah diri menyedari bahawa segala yang dimiliki hakikatnya kepunyaan Al-Malik? Akan tiba suatu saat, Dia akan mengambilnya kembali.

Ada yang diuji kehilangan deria akibat terlibat kemalangan.

Ada yang diuji cacat anggota akibat penyakit yang menimpa.

Jiwa hamba yang bersyukur pada Maliki Yaumiddin akan redha menerima segala nikmat yang ditarik kembali kerana telah banyak kali dipasak “Allah Yang Memiliki / Menguasai Hari Pembalasan.”

Yang harus dikejar bukanlah “Apa lagi nikmat yang belum aku miliki”

Tetapi, realiti permainan dunia ini adalah untuk mengejar “Apa lagi amal soleh yang harus aku miliki sementara aku dikurniakan sekecil-kecil nikmat di dunia ini.”

Bahkan, nikmat memiliki satu jari sahaja sudah memampukan seorang pemuda berjiwa syukur memanfaatkan hidupnya membuat kebaikan.

Hanya dengan memiliki satu jari, cukup melahirkan potensi luar biasa seorang berjiwa syukur.

Kerana akhirnya, segala yang dikejar untuk dimiliki pasti akan lenyap, ditinggalkan di bumi saat terpisahnya roh daripada jasad.

Melainkan satu perkara.

Iaitu amal soleh.

Kepemilikan amal soleh itulah yang akan abadi, berkekalan sehingga ke Hari Pembalasan.

Allah membuat perumpamaan seorang hamba sahaya di bawah kekuasaan orang lain yang tidak berdaya melakukan sesuatu dan seorang yang kami beri rezeki yang baik lalu dia menginfakkan sebahagian rezeki itu secara tersembunyi dan secara terang-terangan. adakah mereka sama? Segala puji hanya bagi allah, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.

dan allah  (juga) membuat perumpamaan, dua orang lelaki yang seorang bisu tidak dapat berbuat sesuatu dan menjadi beban penanggungnya ke mana sahaja dia disuruh (oleh penanggungnya), dia sama sekali tidak dapat mendatangkan sesuatu kebaikan. samakah orang itu dengan orang yang menyuruh agar berbuat keadilan, dan dia berada di jalan yang lurus?

dan milik allah (segala) yang tersembunyi di langit dan di bumi. kejadian kiamat itu, hanya seperti sekejap mata atau lebih cepat(lagi. sesungguhnya allah maha berkuasa atas segala sesuatu.

an-nahl, 16 : 75-77

Bukan lagi soal siapakah yang memiliki pasangan paling baik dan bertanggungjawab.

Bukan lagi soal siapakah yang memiliki ramai anak.

Bukan lagi soal siapakah yang paling cepat meraih gelar jutawan.

Bukan lagi soal kenapa dia memiliki itu dan ini sedangkan saya tidak memiliki apa-apa.

Realitinya persoalan yang paling penting untuk difikirkan adalah “Sudahkah saya memanfaatkan segala yang dimiliki SEMENTARA di dunia ini untuk AMAL SOLEH agar kepemilikan SEMENTARA itu bertukar KEKAL menemui Al-Malik, Yang Menguasai Hari Pembalasan?”

Syukur.

Syukur segala yang diizinkan untuk dimiliki SEMENTARA di dunia ini sebelum semuanya diserahkan pada Maliki Yaumiddin.

Syukur, walaupun hanya dengan sebatang jari yang mampu bergerak, Alhamdulillah.

***

 

Begitu.

3 dimensi syukur untuk mengaktifkan emosi, melonjakkan potensi!

Mahu menjadi golongan Alhamdulillah?

 

Comments

comments

SHARE
Artikel sebelum iniSiapakah saya?
Artikel seterusnyaHanya Dia
Ayat Ibrahim
Graduan dari Universiti Islam Antarabangsa dalam bidang Dietetics. Juga memiliki Master of Education (guidance & counseling) dan sedang melanjutkan PhD in Education (Specialization:counseling). Minat mendidik manusia, bina modul robbani dan suka menulis.

MOHON KOMEN BALAS

Please enter your comment!
Please enter your name here