Perintah yang hanya sanggup dilakukan orang yang beriman

0
348

“Hei si buta! Bantu bawakan saya ke sana.”

-“Bagaimana saya nak memandu, saya tak nampak apa-apa.”

“Hei si kudung! Bantu saya taipkan laporan ini.”

-“Bagaimana saya nak menaip, sukar menaip tanpa tangan.”

Apa yang ada pada diri seseorang itu akan memampukannya untuk berbuat apa yang diarahkan kepadanya. Kurangnya kualiti dalam apa-apa aspek, juga akan melemahkan kemampuannya dalam mengikuti arahan yang diberikan.

Menarik bahasa Al-Quran, sebelum memberikan perintah, Allah memanggil manusia dengan kualitinya.

Ada ketika Allah memanggil “Wahai manusia!”. Ketahuilah bahawa apa-apa yang Dia firmankan selepas panggilan tersebut memerlukan kepada kualiti kemanusiaan.

Dan ada ketika pula Allah memanggil  “Wahai orang-orang yang beriman!”. Maka ketahuilah, sebarang apa yang diperintahkan seterusnya, hanya mampu dilaksanakan oleh mereka yang mempunyai kualiti iman.

Ada orang yang muslim, tetapi belum beriman.

 

Surah Al-Hujuraat membicarakan panduan interaksi sosial. Menarik surah ini ditutup dengan menyelar orang-orang yang mengaku diri beriman sebelum memenuhi syarat-syarat yang membuktikan dirinya beriman.

Ada 5 kelompok perintah Allah dalam surah Al-Hujuraat.

1 dimulakan dengan cara Allah memanggil “Wahai manusia!”

Lagi 4 dimulakan dengan cara Allah memanggil “Wahai orang-orang yang beriman!”

Sesiapa yang memiliki kualiti kemanusiaan, seharusnya mampu memenuhi perintahNya yang menyusuli panggilan “Wahai manusia”

Wahai umat manusia! sesungguhnya kami telah  menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu. sesungguhnya allah maha mengetahui,lagi maha mendalam pengetahuannya.

al-hujuraat, 49 : 13

Manusia yang ada kualiti kemanusiaan, seharusnya mampu untuk berkasih sayang antara sesama. Tidak membenci yang berlainan warna kulit sehingga tergamak membunuh mereka yang berbeza.

Sesiapa yang memiliki kualiti iman pula, seharusnya mampu melaksanakan perintahNya yang menyusuli panggilan Tuhan yang penuh kasih sayang “Wahai orang-orang yang beriman!”. Panggilan penuh cinta daripada Tuhan, buat orang beriman, sudahkah tahu apa perintahNya yang menyusuli panggilan ini?

Wahai orang-orang yang beriman! jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenaranya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini-dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya)- sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.

Al-hujuraat, 49 : 6

Tatkala membahaskan istilah “fasik” dalam ayat di atas, ulama’ menafsirkan “fasik” adalah manusia yang punyai dosa. Dan sememangnya tiada manusia di dunia ini yang bersih daripada melakukan kesalahan. Justeru, sebarang apa berita yang datang daripada manusia, orang beriman pasti memilih untuk menyelidikinya terlebih dahulu. Berikan peluang kepada pihak di sebelah sana untuk menerangkan. Bukan terburu-buru menghukum sebelum memahami keadaan sebenar yang berlaku.

Nabi Daud pernah tersilap hal ini. Tidak menyelidik berita yang disampaikan. Tidak memberi peluang kepada pihak yang satu lagi menerangkan. Dan dia memilih untuk bertaubat, membetulkan kesilapannya yang tidak menyelidiki berita yang sampai kepadanya.

dan sudahkah sampai kepadamu (wahai muhammad) berita orang yang berselisihan? ketika mereka memanjat tembok tempat ibadat;

iaitu ketika mereka masuk kepada nabi daud, lalu dia terkejut melihat mereka; mereka berkata kepadanya “Janganlah takut, (kami ini) adalah dua orang yang berselisihan, salah seorang dari kami telah berlaku zalim kepada yang lain; oleh itu hukumkanlah di antara kami dengan adil, dan janganlah melampaui (batas keadilan), serta pimpinlah kami ke jalan yang lurus.

Sebenarnya orang ini ialah saudaraku. dia mempunyai sembilan puluh sembilan ekor kambing betina dan aku mempunyai seekor sahaja; dalam pada itu dia (mendesakku dengan ) berkata “Serahkanlah yang seekor itu kepadaku”, dan dia telah mengalahkan daku dalam merundingkan perkara itu.

Nabi daud berkata “sesungguhnya dia telah berlaku zalim kepadamu dengan meminta kambingmu itu (sebagai tambahan) kepada kambing-kambingnya; dan sesungguhnya kebanyakan dari orang-orang yang bergaul dan berhubungan, setengahnya berlaku zalim kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh; sedang mereka amatlah sedikit”

Dan nabi daud (setelah  berfikir sejurus) mengetahui sebenarnya kami telah mengujinya (dengan peristiwa itu), lalu dia memohon ampun kepada tuhannya sambil merebahkan dirinya sujud, serta dia rujuk kembali (bertaubat)

maka kami ampunkan kesalahannya itu; dan sesungguhnya dia mempunyai kedudukan yang dekat di sisi Kami serta tempat kembali yang sebaik-baiknya.

shod, 38 : 21-25

Ya.

Nabi Daud juga tersilap akibat tidak teliti dalam menyelidiki berita. Apatah lagi kita manusia biasa. Tetapi, sebaik-baik orang  yang membuat kesilapan adalah orang yang memilih untuk kembali kepada Tuhan dan membetulkan kembali kesilapannya. Tidak sombong. Tunduk kepada Tuhan Yang Maha Mengawasi. Mengakui kesilapan diri.

Dan apa lagi perintah Tuhan dalam surah Al-Hujuraat yang bermula dengan panggilan cinta “Wahai orang-orang yang beriman!” ?

Wahai orang-orang yang beriman! janganlah sesuatu puak (lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) barangkali puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) barangkali puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakna keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman. dan (ingatlah) , sesiapa yang tidak bertaubat, maka merekalah orang-orang yang zalim.

al-hujuraat, 49 : 11

Manusia yang memiliki kualiti iman dalam dirinya, akan mampu melaksanakan perintah ini. Bukankah perintah ini turut bermula dengan “Wahai orang-orang yang beriman!”?

Tidak menggelar orang dengan gelaran buruk.

Tidak mencemuhkan orang lain biar merasakan orang tersebut hina dan rendah berbanding dirinya.

wahai orang-orang yang beriman! jauhilah kebanyakan dari sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada allah; sesungguhnya allah penerima taubat lagi maha mengasihani.

al-hujuraat, 49 : 12

Merenung segala perintahNya yang bermula dengan panggilan “Wahai orang-orang yang beriman!”, apakah diri rasa terpanggil?

Seandainya ada yang memanggil nama “Aida! Aida!”, niscaya diriku tidak menoleh. Kerana itu bukan diriku. Saat yang memanggil itu memanggil dengan nama “Ayat!”, pastinya aku memberi respon. Kerana memang, siapa sahaja rakyat Malaysia yang ada nama “Ayat” (^_^)

Ketika Dia memanggil dengan gelar iman, “Wahai orang-orang beriman”, apakah diri ini menoleh, memberi respon? Apakah diri ini rasa terpanggil? Apakah diri ini menjawab “Ya, Tuhan. Saya di sini.” ?

Sebelum memaksa diri menahan diri daripada mengumpat.

Sebelum memaksa diri menahan diri daripada mencemuh orang lain.

Sebelum memaksa diri menahan diri daripada berlaku tidak adil terhadap pihak yang difitnah dalam berita yang tidak diteliti & diselidiki.

Mari wujudkan dahulu kualiti iman.

mari bangkitkan dahulu kualiti iman dalam diri.

Kerana barangkali iman yang gersang itu membentuk diri yang mengingkari perintahNya dalam segala ayat yang bermula dengan “Wahai orang-orang yang beriman.”

Dan syarat menjadi orang yang beriman itu terletak pada hujung surah Al-Hujuraat

sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada allah dan rasulnya, kemudian mereka tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan allah; mereka itulah orang-orang yang benar.

al-hujuraat, 49 : 15

Siapa orang-orang yang beriman?

yang tak ragu-ragu.

Saat Allah memberikan perintah, tidak ragu-ragu denganNya dan tidak akan berkata “Tapi dia memang bersalah ya Allah. Tak perlu saya selidik berita tu dan fahami berita sebenar. Dia confirm salah, ya Allah. Saya pasti! Saya tahu segala-galanya.”

Saat Allah memberikan perintah, tidak ragu-ragu denganNya dan tidak akan berkata “Tapi dia memang patut dicemuh ya Allah. Dia memang layak dihinakan. Dia tu teruk giler ya Allah. Tak salah kalau saya hinakan dia. “

Saat Allah memberikan perintah, tidak ragu-ragu denganNya dan tidak akan berkata “Saya rasa berburuk sangka itu lebih selamatlah ya Allah. PerintahMu tak berapa tepat untuk keadaan ini. Kalau berbaik sangka akan mendatangkan kemudaratan, ya Allah. Demi keselamatan ramai, kami kena berburuk sangka dahulu ya Allah.”

Orang yang beriman, tidak mengikuti jejak iblis yang pertama sekali ragu-ragu dengan Tuhan. Merasakan penilaiannya lebih baik daripada Tuhan.

Allah berfirman “apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika aku memerintahkanmu?” iblis menjawab “aku lebih baik daripada adam, engkau (wahai tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah.”

allah berfirman “turunlah engkau dari syurga ini, kerana tidak patut engkau berlaku sombong di dalamnya; oleh sebab itu keluarlah sesungguhnya engkau dari golongan yang hina.

al-‘araf, 7 : 12-13

Selepas iblis rasa diri dia lagi bijak daripada Tuhan, selepas dia sombong terhadap Tuhan, lepas tu pergi salahkan Allah. Tuding jari pula kat Allah kata Allah yang menyesatkan dia…

iblis berkata “oleh kerana engkau (wahai tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanmu yang lurus;

al-‘araf, 7 : 16

 

Moga Allah terus melimpahkan petunjukNya buat setiap kita. Memaafkan segala kesilapan yang telah dilakukan.

Mari beriman dengan Al-Hujuraat.

Mari membenarkan wahyu Tuhan.

Mari tidak mendustakan kata-kata Tuhan.

Ramadhan mubarak!

 

Comments

comments

MOHON KOMEN BALAS

Please enter your comment!
Please enter your name here