Miracles – Mukjizat nabi kita, sama dengan mukjizat nabi Musa

0
1060

“Awak, kenapa zaman kita takde mukjizat dahsyat-dahsyat macam Nabi Musa? laut terbelah ke. Tongkat jadi ular ke. Turun makanan dari langit ke.”

-“Kenapa nak mukjizat dahsyat-dahsyat begitu?”

“Supaya orang lagi mudah percaya dengan kebenaran agama kita. Kan bagus macam tu.”

-“Iya? Sebenarnya, ada mukjizat lain yang lebih dahsyat daripada itu pada zaman Nabi Musa. Yang sebenarnya sama dengan mukjizat nabi kita.”

***

 

Ketika Allah memerintahkan Nabi Musa pergi menemui Firaun bersama Harun, Dia memerintahkan Nabi Musa membawa mukjizat-mukjizatNya.

Apa yang perlu dibawa Nabi Musa?

Tongkat yang bertukar menjadi ular?

Tangan yang mengeluarkan cahaya?

Ini benar-benar mukjizat dahsyat terlihat mata.

Tetapi, bukan itu yang dimaksudkan Allah.

Kalau Allah memaksudkan mukjizat yang terlihat mata, seharusnya surah Ash-syuara ayat 15 itu ditutup dengan “sesungguhnya Kami bersama-samamu, MELIHAT.”

Tetapi, ayat tersebut ditutup dengan “Sesungguhnya Kami bersama-samamu, MENDENGAR.”

Mukjizat utama yang diperintah Allah untuk dibawa bertemu firaun adalah mukjizat yang dapat didengari. Bukan mukjizat yang dapat dilihat mata.

Allah bersama-sama Nabi Musa & Nabi Harun, MENDENGAR.

Apakah mukjizat yang didengari itu?

 

***

 

Ada manusia mengaku dialah paling berkuasa di dunia.

Lalu ada yang jauh lebih berkuasa, mahu menyampaikan pesan kepadanya.

 

 

Dua ayat Allah untuk disampaikan kepada Firaun .

  1. Sesungguhnya kamilah utusan robbil alamin
  2. Menyuruhmu membebaskan kaum Bani Israel mengikut kami.

Bermulalah tugas Nabi Musa membawa ayat-ayat Allah kepada Firaun dan kaumnya. Berkata-kata menyampaikan firman daripada Robbil Alamin. Segala tutur bicara Nabi Musa mengajak Firaun dan kaumnya tunduk kepada Tuhan, itulah mukjizat agung zaman itu.

Apa yang berlaku amat luar biasa.

Komunikasi antara seorang anak angkat dengan ayahnya telah menjentik hati-hati manusia yang MENDENGAR dalam istana firaun. Tanpa senjata, tanpa pertumpahan darah, komunikasi itu punyai kuasa luar biasa mencorakkan pola fikir mereka yang mendengarkan sehinggakan Firaun takut.

 

Maka datanglah kamu berdua kepada firaun dan katakanlah “sesungguhnya kami adalah rasul-rasul Tuhan seluruh alam. Lepaskanlah Bani Israel bersama kami.”

Dia (firaun) menjawab, “Bukankah kami telah mengasuhmu dalam lingkungan (keluarga) kami, waktu engkau masih kanak-kanak dan engkau tinggal bersama kami beberapa tahun daripada umurmu.

Dan engkau (Musa) telah melakukan kesalahan daripada perbuatan yang telah engkau lakukan dan engkau termasuk orang yang tidak tahu berterima kasih.

Asy-Syu’ara, 26 : 16-19

Firaun begitu licik meletakkan Nabi Musa seolah-olah berada di posisi manusia yang tidak bersyukur dan memberikan “ugutan” terhadap kesilapan lampau.

Bagaimana Nabi Musa memberikan respon?

Dia (Musa) berkata “Aku telah melakukannya dan ketika itu aku termasuk orang yang belum mendapat petunjuk.

lalu aku lari daripadamu kerana aku takut kepadamu. kemudian tuhanku anugerahkan ilmu kepadaku serta Dia menjadikan aku salah seorang di antara rasul-rasulnya.

budi baik yang telah engkau berikan kepadaku (sebagai bayaran), engkau memperhambakan bani israel.”

Asy-syua’ra, 26 : 20-22

Jiwa Nabi Musa tidak tergugah dengan lontaran kata-kata Firaun. Penuh integriti Nabi Musa mengakui kesilapannya dan membetulkan tanggapan Firaun terhadap sikapnya memperhambakan Bani Israel.

Penuh sombong, Firaun bertanya perihal Tuhan.

Firaun bertanya “Siapakah tuhan seluruh alam itu?”

dia (musa) menjawab “tuhan yang mencipta langit dan bumi serta apa yang ada di antara kedua-duanya (itulah tuhanmu), jika kamu mempercayainya.

Asy-syu’ara, 26 : 23-24

Selama ini Firaun meyakini bahawa dirinya adalah Tuhan di bumi. Manakala langit, tuhannya adalah matahari.

Saat hadirnya Nabi Musa menerangkan bahawa Tuhan adalah yang mencipta langit dan bumi dan antara kedua-duanya, kefahaman ini adalah kefahaman baru yang sulit untuk diterima.

Peliknya, tiada kaum firaun yang di dalam istana bangkit menafikan atau menyokong Firaun. Sehinggakan Firaun terpaksa bertanyakan kepada mereka yang di sekeliling.

Dia (Firaun) berkata kepada orang sekelilingnya “Adakah kamu tidak mendengar?”

Asy-Syu’ara, 26 : 25

Firaun mengharapkan sokongan.

Mengapa tiada yang tampil memberikan sokongan.

Apakah semua yang sedang MENDENGAR mula percaya kepada Nabi Musa?

Nabi Musa bahkan tidak berganjak daripada agendanya menyampaikan firman Tuhan

Dia (Musa) berkata “(Dia) Tuhanmu dan juga Tuhan nenek moyangmu terdahulu.”

Asy-Syu’ara, 26 : 26

Firaun gelisah.

Bagaimana seorang manusia boleh “memukau” keseluruhan ahli rumahnya?

Firaun lantas menggelar Nabi Musa sebagai orang gila

Dia (Firaun) berkata “Sesungguhnya rasulmu yang diutuskan kepada kamu benar-benar orang gila.”

Asy-Syu’ara, 26 : 27

Dan Nabi Musa masih meneruskan misinya memperdengarkan ayat-ayat Allah.

 

DIa (Musa) berkata ” (DIalah) Tuhan (yang menguasai) timur dan barat, dan apa yang ada di antara keduanya jika kamu semua mengerti.”

Asy-Syu’ara, 26 : 28

Firaun cemas.

Firaun mahu segera menghentikan bicara Nabi Musa agar ahli rumahnya berhenti MENDENGAR kata-kata tauhid itu.

Akhirnya Firaun mengancam Nabi Musa agar berhenti berkata-kata

Dia (firaun) berkata “Sesungguhnya, jika engkau menyembah Tuhan selain aku, pasti aku masukkan engkau ke dalam penjara. ”

Asy-Syu’ara, 26 : 29

Maka Nabi Musa pun berhenti.

Tetapi meneruskan dengan mukjizat-mukjizat yang lain

Dia (musa) berkata “Adakah (engkau akan melakukan itu) walaupun aku tunjukkan kepadamu sesuatu (bukti) yang nyata?”

Dia (firaun) berkata “Tunjukkan sesuatu itu, jika engkau termasuk orang yang benar!”

Maka dia (musa) melemparkan tongkatnya, tiba-tiba tongkatnya itu menjadi ular besar yang sebenarnya. Dan dia mengeluarkan tangannya ( daripada dalam bajunya), tiba-tiba tangan itu menjadi putih (bercahaya) bagi orang-orang yang melihatnya.

Asy-SYu’ara, 26 : 30-33

 

***

Mukjizat dari Tuhan yang paling agung adalah mukjizat yang DIDENGARI.

Mukjizat dari Tuhan adalah ayat-ayat Allah yang disampaikan Rasul kepada umatnya. Sehingga akhirnya, mukjizat yang didengari itulah yang menusuk jiwa-jiwa manusia untuk kembali kepada fitrah, beriman kepada Robbil alamin.

Justeru, mengapa dakwah itu mahu berfokus pada “hal-hal ajaib” sahaja sedangkan sejarah Nabi Musa mengajar kita, mukjizat yang DILIHAT itu hanya diketengahkan pada saat diperlukan. Pun begitu, Bani Israel telah membuktikan SEMBILAN mukjizat yang DILIHAT itu masih tidak membuatkan dirinya taat dan tunduk. Jika diri manusia itu enggan untuk bersaksi “Kami DENGAR dan kami TAAT”.

Duhai manusia, sudahkah MENDENGAR?

Buat pasangan pengantin, sudahkah MENDENGAR mukjizat daripada At-Taghabun

Buat para suami, sudahkah MENDENGAR mukjizat daripada An-Nisa’

Buat para isteri, sudahkah MENDENGAR mukjizat daripada At-Tahrim

Buat para usahawan, sudahkah MENDENGAR mukjizat daripada Al-Mutoffifin

Buat pemimpin negara, sudahkah MENDENGAR mukjizat daripada Al-Balad

Buat manusia, sudahkah MENDENGAR kalam Tuhan?

___________________

Nota peserta Miracles-Story Night by Ust Nouman Ali Khan

Comments

comments

SHARE
Artikel sebelum ini
Artikel seterusnyaTurki Aku Datang
Ayat Ibrahim
Graduan dari Universiti Islam Antarabangsa dalam bidang Dietetics. Juga memiliki Master of Education (guidance & counseling) dan sedang melanjutkan PhD in Education (Specialization:counseling). Minat mendidik manusia, bina modul robbani dan suka menulis.

MOHON KOMEN BALAS

Please enter your comment!
Please enter your name here