Lapisan hati yang mengakar menumbuhkan akhlak

0
917

Seorang guru diam membisu. Teman di sisi tak boleh tidak mahu menanyakan.

“Kenapa ni?”

-“Semalam dapat report. Seorang student kena soal di kelab malam.”

“Oh kes tu. Saya tahu juga.”

-“Tahu apa yang lebih merisaukan? Dia dilepaskan sahaja sebab dia datang situ bersama mak ayah dia. Jadi orang lain tak boleh kata apa dah.” 

Faktor persekitaran yang larut dalam kemungkaran terlihat sulit membawa si manusia keluar daripada kemaksiatan.

Tetapi teladan Nabi Ibrahim menolak ‘teori’ ini. Meskipun sendirian dalam sebuah negara syirik penyembah berhala, fitrah tauhidnya disuburkan sehingga menjemput hidayah daripada Tuhan.

وَلَقَدْ آتَيْنَا إِبْرَاهِيمَ رُشْدَهُ مِن قَبْلُ وَكُنَّا بِهِ عَالِمِينَ

Dan demi sesungguhnya, Kami telah memberi kepada Nabi Ibrahim sebelum itu jalan yang benar dalam bertauhid, dan Kami adalah mengetahui akan halnya.

Al-Anbiya’, 21 : 51

Kurniaan Tuhan kepada Nabi Ibrahim adalah jalan yang benar dalam bertauhid (rushda). Apa impaknya jalan tauhid ini? Bukan sekadar melahirkan peribadi yang lama di tikar solat setiap masa beribadah dan melafaz zikir beribu kali.

Bukan itu.

Tetapi tauhid yang disuburkan di hati inilah melahirkan uswatun hasanah dalam segala ruang lingkup kehidupannya.

Dialah seorang suami yang santun kepada isterinya. Berusaha membuat kerja rumah seperti menyiapkan hidangan kepada tetamu dengan kudrat dirinya bukan semata-mata menyerahkan tugasan itu kepada si isteri. Dialah juga yang halim terhadap isteri yang mandul, tidak menghukumi isterinya yang tiada anak sebaliknya terus berbaik sangka akan rezeki Tuhan.

وَلَقَدْ جَاءَتْ رُسُلُنَا إِبْرَاهِيمَ بِالْبُشْرَىٰ قَالُوا سَلَامًا ۖ قَالَ سَلَامٌ ۖ فَمَا لَبِثَ أَن جَاءَ بِعِجْلٍ حَنِيذٍ

Dan sesungguhnya telah datang malaikat utusan-utusan kami kepada Nabi Ibrahim, dengan membawa berita yang mengembirakan. Lalu mereka memberi salam dengan berkata: “Salam sejahtera kepadamu (wahai Ibrahim)”. Nabi Ibrahim menjawab: “Salam sejahtera kepada kamu”. Maka tidak berapa lama selepas itu, ia membawa jamuan untuk mereka: seekor anak lembu yang dipanggang.

Hud, 11 : 69

Dialah juga seorang anak yang tak mudah menyalahkan ibu bapa dalam kekurangan mereka mendidik dirinya. Sebaliknya, Nabi Ibrahim memilih menjadi anak yang peduli mendidik ayahnya penuh cinta dan kasih sayang.

Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Ibrahim; sesungguhnya adalah ia seorang yang amat benar, lagi menjadi Nabi.

Ketika ia berkata kepada bapanya:” Wahai ayahku, mengapa ayah menyembah benda yang tidak mendengar dan tidak melihat serta tidak dapat menolongmu sedikitpun?

” Wahai ayahku, sesungguhnya telah datang kepadaku dari ilmu pengetahuan yang tidak pernah datang kepadamu oleh itu ikutlah daku; aku akan memimpinmu ke jalan yang betul.

” Wahai ayahku, janganlah ayah menyembah Syaitan, sesungguhnya Syaitan itu adalah menderhaka kepada Allah yang melimpah-limpah rahmatNya.

” Wahai ayahku, sesungguhnya aku bimbang bahawa ayah akan kena azab dari (Allah) Ar-Rahman disebabkan ayah menyembah yang lainnya; maka dengan sebab itu akan menjadilah ayah rakan bagi Syaitan di dalam neraka”.

(Bapanya) menjawab: “Patutkah engkau bencikan tuhan-tuhanku, wahai Ibrahim? Demi sesungguhnya jika engkau tidak berhenti daripada menyeru dan menasihati daku sudah tentu aku akan meluntarmu dengan batu; dan (ingatlah lebih baik) engkau tinggalkan daku sepanjang masa”.

Nabi Ibrahim berkata: ” Selamat tinggalah ayah; aku akan memohon kepada Tuhanku mengampuni dosamu; sesungguhnya Ia sentiasa melimpahkan kemurahan ihsanNya kepadaku.

Dan aku akan membawa diri meninggalkan kamu semua serta apa yang kamu sembah yang lain dari Allah; dan aku akan beribadat kepada Tuhanku dengan ikhlas; mudah-mudahan aku dengan ibadatku kepada Tuhanku itu tidak menjadi hampa (dan derhaka seperti kamu)”.

Maryam, 19 : 41-48

Persoalannya, bagaimana mendidik hati sehingga dapat melahirkan peribadi akhlak semulia Nabi Ibrahim?

Apakah caranya dengan pergi haji berkali-kali?

Apakah caranya dengan lafaz tasbih, tahmid dan takbir beratus kali?

Apakah caranya dengan berpuasa saban hari?

Amal ibadah fizikal jika tidak dimulakan dan disuburkan dengan tauhid yang bertempat di hati berkemungkinan sulit bertahan lama. Sekadar tindakan fizikal yang dipaksa-paksa yang akhirnya akan hilang juga.

Apa yang dilakukan Nabi Ibrahim sehingga jiwanya tercorak peribadi yang memiliki akhlak dengan julukan uswatun hasanah oleh Robb?

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِيهِمْ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ ۚ وَمَن يَتَوَلَّ فَإِنَّ اللَّهَ هُوَ الْغَنِيُّ الْحَمِيدُ

Demi sesungguhnya! Adalah bagi kamu pada bawaan Nabi Ibrahim dan pengikut-pengikutnya itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah dan (balasan baik) hari akhirat. Dan sesiapa yang berpaling daripada mencontohi mereka, (maka padahnya akan menimpa dirinya sendiri), kerana sesungguhnya Allah Dia lah Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.

Al-Mumtahanah, 60 : 6

 

Mari telusuri satu demi satu lapisan hati yang mengakar, menumbuhkan akhlak yang mulia.

  1. Qolbu
  2. Fu’ad
  3. Sadr
  4. Lubb

 

1. Qolb

Seorang remaja dalam daerah musyrik. Menggunakan pancainderanya untuk menangkap ilmu tauhid. Dia berfikir. Dia berhujah dengan kaumnya dengan dalil yang benar

Dan bacakanlah pula kepada mereka perihal Nabi Ibrahim.

Ketika ia berkata kepada bapanya dan kaumnya: “Apa yang kamu sembah?”

Mereka menjawab: “Kami menyembah berhala-berhala, maka (kerana memuliakannya) kami berkekalan menyembahnya”.

Nabi Ibrahim bertanya: “Adakah berhala-berhala itu mendengar kamu semasa kamu menyerunya?

“Atau mereka dapat memberikan sesuatu yang ada manfaatnya kepada kamu ataupun menimpakan sesuatu bahaya?”

Mereka menjawab: “(Tidak satupun!) Bahkan kami dapati datuk nenek kami berbuat demikian”.

Nabi Ibrahim berkata: “Sudahkah kamu berfikir sehingga nampak gunanya benda-benda yang kamu sembah itu?

“(Yang sekian lama disembah oleh) kamu dan datuk nenek kamu yang dahulu?

Asy-syu’arak, 26 : 69-74

Bagaimana remaja seperti Nabi Ibrahim dapat garap pemikiran tauhid meskipun hidup dalam masyarakat musyrik?

Ada sesuatu di sebalik hikmah.

Nabi Ibrahim yang bijak berfikir telah meminta hikmah daripada Robb dan Allah memakbulkannya.

رَبِّ هَبْ لِي حُكْمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ 

“Wahai Tuhanku, berikanlah daku ilmu pengetahuan ugama, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh;

Asy-Syu’arak, 26 : 83

Hikmah yang diperoleh membawa Nabi Ibrahim pada kebenaran sehingga kuat berhadapan golongan penyembah berhala.

Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya Aazar: “Patutkah ayah menjadikan berhala-berhala sebagai tuhan-tuhan? Sesungguhnya aku melihatmu dan kaummu dalam kesesatan yang nyata”. 

Al-an’am, 6 : 74

Allah memberikan alam semesta buat Nabi Ibrahim untuk berfikir. Hati Qolbunya menjalankan fungsi memikir secara mendalam sehingga mampu menangkap mesej tauhid di sebalik tanda-tanda kebesaran Allah.

أَفَلَمْ يَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَتَكُونَ لَهُمْ قُلُوبٌ يَعْقِلُونَ بِهَا أَوْ آذَانٌ يَسْمَعُونَ بِهَا ۖ فَإِنَّهَا لَا تَعْمَى الْأَبْصَارُ وَلَٰكِن تَعْمَى الْقُلُوبُ الَّتِي فِي الصُّدُورِ 

Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya – dengan melihat kesan-kesan yang tersebut – mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada.

Al-Hajj, 22 : 46

Qolbu yang dibantu pancaindera pendengaran dan penglihatan seharusnya digunakan untuk memikirkan ayat-ayatNya. Saat si hamba memilih sombong memikirkan, bagaimana Qolbu itu akan selamat?

وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرًا مِّنَ الْجِنِّ وَالْإِنسِ ۖ لَهُمْ قُلُوبٌ لَّا يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لَّا يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لَّا يَسْمَعُونَ بِهَا ۚ أُولَٰئِكَ كَالْأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ ۚ أُولَٰئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ 

Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.

Al-‘Araf, 7 : 179

Ayat di atas mengajar kita bahawa hati (Qolb) itu fungsinya memahami ayat-ayat Allah. Hati yang tak berfungsi adalah hati yang lalai (ghaflah).

Apabila hati (Qolb) itu berfikir, jiwa akan percaya pada ayat-ayatNya. Lahirlah peribadi yang tunduk beriman pada Yang Esa seperti Nabi Ibrahim.

Hati (Qolb) itu bekas mengisi iman.

قَالَتِ الْأَعْرَابُ آمَنَّا ۖ قُل لَّمْ تُؤْمِنُوا وَلَٰكِن قُولُوا أَسْلَمْنَا وَلَمَّا يَدْخُلِ الْإِيمَانُ فِي قُلُوبِكُمْ ۖ وَإِن تُطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ لَا يَلِتْكُم مِّنْ أَعْمَالِكُمْ شَيْئًا ۚ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ 

Orang-orang ” A’raab” berkata: ” Kami telah beriman”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Kamu belum beriman, (janganlah berkata demikian), tetapi sementara iman belum lagi meresap masuk ke dalam hati kamu berkatalah sahaja: ` kami telah Islam ‘. Dan (ingatlah), jika kamu taat kepada Allah RasulNya (zahir dan batin), Allah tidak akan mengurangkan sedikitpun dari pahala amal-amal kamu, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.

Al-Hujurat, 49 : 14

Jika Nabi Ibrahim dahulu mendapatkan sumber iman melalui ayat-ayat Tuhan yang diilhamkan Allah kepadanya, bagaimana pula umat zaman ini?

Apakah pula sumber makanan Qolb bagi mendapatkan iman buat kita?

وَكَذَٰلِكَ أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ رُوحًا مِّنْ أَمْرِنَا ۚ مَا كُنتَ تَدْرِي مَا الْكِتَابُ وَلَا الْإِيمَانُ وَلَٰكِن جَعَلْنَاهُ نُورًا نَّهْدِي بِهِ مَن نَّشَاءُ مِنْ عِبَادِنَا ۚ وَإِنَّكَ لَتَهْدِي إِلَىٰ صِرَاطٍ مُّسْتَقِيمٍ 

Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu (Muhammad) – Al-Quran sebagai roh (yang menghidupkan hati perintah Kami; engkau tidak pernah mengetahui (sebelum diwahyukan kepadamu): apakah Kitab (Al-Quran) itu dan tidak juga mengetahui apakah iman itu; akan tetapi Kami jadikan Al-Quran: cahaya yang menerangi, Kami beri petunjuk dengannya sesiapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) adalah memberi petunjuk dengan Al-Quran itu ke jalan yang lurus,

Ash-Shura, 42: 52

 

Pengajaran (tazakkur)

Fungsikan hati (Qolb) dengan berfikir dan memahami ayat-ayat Allah (Al-Quran) kerana itulah yang akan menumbuhkan kepercayaan (keimanan) yang membawa pada ketundukan.

2. Fu’ad

Qolb yang memiliki iman terus dikuatkan sehingga mampu menumbuhkan keyakinan di hati yang lebih dalam (fu’ad). Tingkatan muqin (yaqin) itu lebih tinggi daripada mukmin (percaya setelah mendapat hujah dan dalil).

Bagaimana Nabi Ibrahim membina keyakinan di hati Fu’adnya?

Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Nabi Ibrahim kebesaran dan kekuasaan (Kami) di langit dan di bumi, dan supaya menjadilah ia dari orang-orang yang percaya dengan sepenuh-penuh yakin.

Al-An’am, 6 : 75

Untuk yaqin, bukan mudah.

Perlukan proses. Perlukan usaha.

Dalam Al-Quran, kalimah yaqin hanya memiliki dua objek iaitu keyakinan pada akhirat dan keyakinan akan ayat-ayatNya (Al-Quran dan Alam semesta).

Nabi Ibrahim melatih keyaqinan hati fu’adnya melalui penglihatan dan pendengaran terhadap alam semesta. Latihan inilah yang membawa pada keyakinan akhirat.

اللَّهُ الَّذِي رَفَعَ السَّمَاوَاتِ بِغَيْرِ عَمَدٍ تَرَوْنَهَا ۖ ثُمَّ اسْتَوَىٰ عَلَى الْعَرْشِ ۖ وَسَخَّرَ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ ۖ كُلٌّ يَجْرِي لِأَجَلٍ مُّسَمًّى ۚ يُدَبِّرُ الْأَمْرَ يُفَصِّلُ الْآيَاتِ لَعَلَّكُم بِلِقَاءِ رَبِّكُمْ تُوقِنُونَ – 13:2

Allah jualah yang menjadikan langit terangkat tinggi dengan tiada bertiang sebagaimana yang kamu melihatnya, kemudian Ia bersemayam di atas Arasy; dan Ia memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya) tiap-tiap satu dari keduanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Allah jualah yang mentadbirkan segala urusan; Ia menerangkan tanda-tanda kekuasaanNya satu-persatu, supaya kamu yakin kepada pertemuan Tuhan kamu

Ar-Ra’d, 13 : 2

Hati fu’ad yang yaqin mampu merasakan muraqabatullah, rasa Tuhan memperhatikannya. Hati fu’adnya tidak boleh mendustakan kebenaran yang disaksikan. Yaqin pada yang ghaib (Allah, Malaikat, Hari Akhirat)

مَا كَذَبَ الْفُؤَادُ مَا رَأَىٰ 

Hati (Nabi Muhammad) tidak mendustakan apa yang dilihatnya.

An-Najm, 53 : 11 

Rasa bahawa Allah Maha Berkuasa dan sentiasa memerhatikan diri? Inilah peribadi muhsin. Peribadi yang fu’adnya kuat sehinggakan menzahirkan akhlak Muhsin. Bersegera bertaqwa kerana dapat merasakan setiap detik amal akan dihitung.

Begitulah proses mengukuhkan keyakinan di fu’ad melalui penyaksian alam semesta .

Nabi Ibrahim juga pernah memerhatikan burung yang mati hidup kembali. Penyaksian ini bahkan mengurniakan ketenangan di hati Qob Nabi Ibrahim.

وَإِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ رَبِّ أَرِنِي كَيْفَ تُحْيِي الْمَوْتَىٰ ۖ قَالَ أَوَلَمْ تُؤْمِن ۖ قَالَ بَلَىٰ وَلَٰكِن لِّيَطْمَئِنَّ قَلْبِي ۖ قَالَ فَخُذْ أَرْبَعَةً مِّنَ الطَّيْرِ فَصُرْهُنَّ إِلَيْكَ ثُمَّ اجْعَلْ عَلَىٰ كُلِّ جَبَلٍ مِّنْهُنَّ جُزْءًا ثُمَّ ادْعُهُنَّ يَأْتِينَكَ سَعْيًا ۚ وَاعْلَمْ أَنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ – 

Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim (merayu dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan makhluk-makhluk yang mati?” Allah berfirman: “Adakah engkau belum percaya (kepada kekuasaanku)?” Nabi Ibrahim menjawab: “Bahkan (aku percaya dan yakin), akan tetapi (aku memohon yang demikian ialah) supaya tenteram hatiku (yang amat ingin menyaksikannya)”. Allah berfirman: “(Jika demikian), ambilah empat ekor burung, kemudian kumpulkanlah olehmu (dan cincanglah semuanya). Setelah itu letakkanlah di atas tiap-tiap sebuah bukit sebahagian daripadanya. Kemudian serulah burung-burung itu nescaya semuanya akan datang kepadamu dengan segera”. Dan ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Al-Baqarah, 2 : 260

 

Pengajaran (Tazakkur)

  1. Latih diri untuk mengaktifkan deria pendengaran, penglihatan dan hati untuk memerhatikan alam semesta, memikirkan tanda-tanda kebesaran Allah sehingga menumbuhkan keyakinan.
  2. Fikirkan tentang proses berkuasanya Allah menghidupkan bumi daripada yang mati.

 

3. Sadr (dada)

Hati Qolb yang tenang bertitik-tolak daripada Fu’ad yang yaqin akan mampu mengemudi apa yang ada di Sadr (dada) manusia. Sadr manusia itulah tempat berlakunya peperangan antara pelbagai kehendak dan bisikan yang akan terzahir dalam tindakan fizikal.

Apa yang ada di sadr ?

  1. Syahwat (7:43 ; 3:14 ; 40:80 ; 59:9)
  2. Hawa (45:23)
  3. Syaitan (114:4)

Manusia memang diciptakan dengan syahwat. Syahwat yang dalam batasan syariat adalah penting bagi memastikan keberlangsungan hidup manusia.

Namun, hawa dan syaitan sentiasa mendesak kehendak syahwat dipenuhi dengan berlebih-lebihan atau jalan yang batil. Kekuatan iman di Qolb amat memainkan peranan penting agar akhlak yang terzahir adalah tetap ketaatan kepada Allah.

Secara umumnya, dua akhlak yang akan memelihara taqwa adalah sabar dan syukur. Seorang yang memiliki nikmat pasangan, lalu disyukuri dengan meluahkan kehendaknya, tindakan ini adalah tindakan terpuji.

Seorang yang diuji dengan pesona wanita bukan mahram, lalu memilih sabar dengan menundukkan pandangan dan menjauhi zina, tindakan ini juga adalah satu bentuk ketaatan.

Antara syukur dan kufur, kedua-duanya seakan bertarung di wilayah dada (sadr) manusia.

إِن تَكْفُرُوا فَإِنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ عَنكُمْ ۖ وَلَا يَرْضَىٰ لِعِبَادِهِ الْكُفْرَ ۖ وَإِن تَشْكُرُوا يَرْضَهُ لَكُمْ ۗ وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَىٰ ۗ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّكُم مَّرْجِعُكُمْ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ ۚ إِنَّهُ عَلِيمٌ بِذَاتِ الصُّدُورِ – 39:7

Kalaulah kamu kufur ingkar (tidak bersyukur) akan nikmat-nikmatNya itu, maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah tidak berhajatkan (iman dan kesyukuran) kamu (untuk kesempurnaanNya); dan Ia tidak redakan hamba-hambaNya berkeadaan kufur; dan jika kamu bersyukur, Ia meredainya menjadi sifat dan amalan kamu. Dan (ingatlah) seseorang yang memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja). Kemudian kepada Tuhan kamulah tempat kembalinya kamu, maka Ia akan memberitahu kepada kamu tentang apa yang kamu telah kerjakan. Sesungguhnya Ia Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada.

Az-Zumar, 39 : 7

 

Kembali pada keteladanan Nabi Ibrahim. Bukankah dia banyak diuji sebagai seorang anak, ayah, suami , pendakwah dan hamba?

Nabi Ibrahim pernah diuji diancam bunuh oleh ayahnya Azar

Nabi Ibrahim pernah diuji dihumban ke dalam api.

Nabi Ibrahim pernah diuji isterinya mandul dan lama tidak memiliki anak.

Nabi Ibrahim pernah diuji perintah meninggalkan Hajar dan anaknya Ismail di tanah kering kontang

Nabi Ibrahim pernah diuji meletakkan anaknya untuk disembelih.

Dalam setiap ujian, kekuatan iman di Qolb dan keyakinan di fuad memampukannya memilih sabar dan syukur setiap ketika.

وَإِذِ ابْتَلَىٰ إِبْرَاهِيمَ رَبُّهُ بِكَلِمَاتٍ فَأَتَمَّهُنَّ ۖ قَالَ إِنِّي جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامًا ۖ قَالَ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۖ قَالَ لَا يَنَالُ عَهْدِي الظَّالِمِينَ – 2:124

Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa Kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi Imam (Pemimpin ikutan) bagi umat manusia”. Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: “(Ya Tuhanku!) Jadikanlah juga (apalah jua kiranya) dari keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan)”. Allah berfirman: “(Permohonanmu diterima, tetapi) janjiKu ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim.”

Al-Baqarah, 2 : 214

Terzahir akhlak Muslim saat dada (sadr) sentiasa dipandu iman di Qolb.

أَفَمَن شَرَحَ اللَّهُ صَدْرَهُ لِلْإِسْلَامِ فَهُوَ عَلَىٰ نُورٍ مِّن رَّبِّهِ ۚ فَوَيْلٌ لِّلْقَاسِيَةِ قُلُوبُهُم مِّن ذِكْرِ اللَّهِ ۚ أُولَٰئِكَ فِي ضَلَالٍ مُّبِينٍ – 39:22

Jika demikian, adakah orang yang telah dilapangkan Allah dadanya untuk menerima Islam, lalu ia tetap berada dalam cahaya (hidayah petunjuk) dari Tuhannya, (sama seperti orang yang tertutup mata hatinya dengan selaput kederhakaan)? Maka kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya, adalah dalam kesesatan yang nyata.

Az-Zumar, 39 : 22

Dada (Sadr) yang lapang dengan akhlak Muslim.

Dada (sadr) yang bersih daripada hawa dan syaitan menyelamatkan hati (Qolb) daripada sakit. Keinginan syahwat (wanita, harta, anak-anak dan lain-lain) yang fitrah sentiasa disalurkan selari tuntunan wahyu memenangkan iman di Qolb. Jiwa sebeginilah yang meraih gelar Qolbun saleem.

“Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun, “Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik);

Ash-Shu’ara, 26 : 89

Dan Nabi Ibrahim telahpun diiktiraf Allah sebagai jiwa yang telah mendapat Qolbun Saleem.

وَإِنَّ مِن شِيعَتِهِ لَإِبْرَاهِيمَ 

إِذْ جَاءَ رَبَّهُ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ 

Dan sesungguhnya di antara orang-orang yang menegakkan (ajaran yang dibawa oleh) Nabi Nuh ialah Nabi Ibrahim. Ketika ia mematuhi perintah tuhannya dengan hati yang suci murni.

As-Saffat, 37 : 83-84

 

Pengajaran (tazakkur) :

  1. Lihat ujian dalam setiap posisi kehidupan (sebagai seorang anak, ahli keluarga, sahabat, daie dan lain-lain) sebagai peluang memanifestasikan sabar dan syukur. Terima ujian sebagai latihan menguatkan Qolb agar dapat membersihkan sadr daripada jajahan hawa dan syaitan.
  2. Tanam azam memiliki akhlak Muslim yang terzahir melalui keimanan di Qolb dan keyakinan (ayat-ayatNya dan Akhirat) di Fu’ad.

 

4. Lubb

 

Saat Qolbun Saleem selamat daripada kesyirikan, hawa, syahwat dan ghaflah (lalai), hati itu hanya mahu tauhid, keikhlasan, ketaatan dan dzikrullah.

Bila hati bersih, mampu melihat dengan pandangan kebenaran. Menjemput anugerah Allah sehingga diikhlaskan jiwanya (mukhlas). Fu’ad makin berterusan yaqin pada Hari Akhirat.

وَاذْكُرْ عِبَادَنَا إِبْرَاهِيمَ وَإِسْحَاقَ وَيَعْقُوبَ أُولِي الْأَيْدِي وَالْأَبْصَارِ

Dan (ingatkanlah peristiwa) hamba-hamba Kami: Nabi Ibrahim dan Nabi Ishak serta Nabi Yaakub, yang mempunyai kekuatan (melaksanakan taat setianya) dan pandangan yang mendalam (memahami ugamanya).

إِنَّا أَخْلَصْنَاهُم بِخَالِصَةٍ ذِكْرَى الدَّارِ 

Sesungguhnya Kami telah jadikan mereka suci bersih dengan sebab satu sifat mereka yang murni, iaitu sifat sentiasa memperingati negeri akhirat.

Sod, 38 : 45-46

 

Bila hati itu penuh dan berterusan mengingati Allah, setiap pilihan tindakan berorientasikan akhirat. Hebatnya peribadi Nabi Ibrahim, seakan-akan Allah telah memenuhi setiap celahan hatinya. Layaklah dia digelar Khalilullah.

وَمَنْ أَحْسَنُ دِينًا مِّمَّنْ أَسْلَمَ وَجْهَهُ لِلَّهِ وَهُوَ مُحْسِنٌ وَاتَّبَعَ مِلَّةَ إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا ۗ وَاتَّخَذَ اللَّهُ إِبْرَاهِيمَ خَلِيلًا – 4:125

Dan tidak ada yang lebih baik ugamanya daripada orang yang menyerahkan dirinya kepada Allah (dengan ikhlas), sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan, dan ia pula mengikut ugama Nabi Ibrahim yang lurus (yang tetap di atas dasar tauhid); dan (kerana itulah) Allah menjadikan Nabi Ibrahim kesayanganNya.

An-Nisa’, 4 : 125

Khalil itu apa?

Sebuah kebun, ada celahan saliran agar air boleh mengalir memastikan kelangsungannya.

Sebuah hati, juga ada celahan-celahan. Saat Nabi Ibrahim dipilih menjadi khalilullah, bermakna setiap celahan hatinya ada Allah. Hubungan dengan Allah itu terus-menerus. Bagindalah peribadi yang kuat tawakalnya pada Robb. Bagindalah jiwa yang banyak dan selalu berdoa kepada Tuhan.

Dzikrullah itu terus-menerus setiap masa, setiap ketika. Sentiasa mengingati akhirat. Begitulah peribadi ulul albab.

إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لَآيَاتٍ لِّأُولِي الْأَلْبَابِ – 3:190

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal;

الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَٰذَا بَاطِلًا سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ – 3:191

(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.

 

Ringkasnya, lubb itu apa?

Lubb itu berfungsi saat Qolb selamat daripada unsur di dada sadr (syahwat, hawa, syaitan). Fu’ad pula memiliki keyakinan yang kuat pada akhirat dan ayat-ayat Allah. Lahirnya peribadi yang mengingati akhirat selalu. Justeru melahirkan akhlak mukhlas yang istiqamah di jalan yang lurus.

Jika manusia berjaya memfungsikan setiap lapisan hatinya sehingga ke lubb, hadirnya kebahagiaan yang tidak dapat diukur dengan kesihatan, harta kekayaan mahupun usia.

Bahagia itu di sini (tunjuk ke hati ok)

(^_^)

 

______________________________________________________

Nota kuliah Dr Sholihah Kaswari yang ditulis dengan kefahaman kerdil seorang Ayat Ibrahim

Comments

comments

SHARE
Artikel sebelum iniVisualisasi akhirat
Artikel seterusnyaDewan Peperiksaan Subjek CV19
Ayat Ibrahim
Graduan dari Universiti Islam Antarabangsa dalam bidang Dietetics. Juga memiliki Master of Education (guidance & counseling) dan sedang melanjutkan PhD in Education (Specialization:counseling). Minat mendidik manusia, bina modul robbani dan suka menulis.

MOHON KOMEN BALAS

Please enter your comment!
Please enter your name here