Hanya Dia

0
336
al fatihah

“Kenapa tak pakai baju kegemaran awak hari ini?”

– “Mak ada di rumah minggu ni. Dan mak tak suka saya pakai warna tu.”

“Eh. Nak pilih baju pun kena dapat restu mak?”

– “Bukanlah. Saya suka untuk menggembirakan dia. Tu je. Ikut je apa yang dia nak selagi mampu.”

 

***

Ketika seorang manusia begitu menghargai insan yang paling banyak berbakti dan berkorban kepadanya iaitu kedua ibu dan bapanya, pasti segala kehendak kedua-duanya mahu diturutkan. Penuh rasa cinta, penuh rasa syukur, diturutkan segala kemahuan tanpa banyak berdolak-dalih.

Dan apakah ada lagi manusia lain yang nilai baktinya melebihi pengorbanan ibu dan bapa? Hampir mustahil untuk ada kan.

Melainkan Tuhan itu sendiri.

Sudahkah si manusia itu penuh cinta dan syukur, mahu memperturutkan segala perintah Tuhan?

***

Rasa cinta kepada Tuhan.

Rasa syukur kepada Tuhan.

Sudahkah memekar dalam jiwa si hamba?

Kesyukuran itu mekar tatkala setiap jiwa mampu memaknai segala manfaat atau nikmat melimpah ruah yang diperoleh di sebalik nama Robbil ‘alamin, Ar-Rahman Ar-Rahim dan Maliki Yaumiddin.

Sudahkah bersyukur kepada Robbil’alamin, Ar-Rahman Ar-Rahim dan Maliki Yaumiddin?

Penulisan sebelum ini sudah membincangkan makna kesyukuran di sebalik 3 ayat daripada Al-Fatihah ini. ( Baca lanjut https://quranicparenting.com/syukur-3-dimensi/ )

Lalu.

Saat hati terdalam si hamba terkesan penuh rasa kesyukuran terhadap Tuhan yang telah memberikan segala-galanya, jiwa seakan-akan meronta-ronta mahu membuktikan kecintaan dengan ketaatan tak berbelah bahagi.

Lalu ayat Al-Fatihah berikutnya terkait kesanggupan mentaati segala yang daripadaNya, itulah selayak-layaknya menyambut ayat-ayat kesyukuran sebelum itu.

1) Kami mengabdikan diri kepada Engkau.

atau

2) Hanya kepada Engkau kami mengabdikan diri.

Antara dua ayat di atas, mana yang lebih memberikan kesan?

Uniknya ayat ke-5 daripada surah Al-Fatihah ini mengajar kita bahawa pengabdian itu hanyalah kepada Allah.

Ada manusia, mungkin mengabdikan diri kepada Allah. Tetapi pada masa yang sama masih mengabdikan diri kepada hawa nafsu, kehendak mungkar manusia-manusia lain, dan bahkan syaitan. Itu yang berlaku seandainya ayat 1) yang diamalkan setiap hari.

Berbanding dengan ayat daripada surah Al-Fatihah iaitu merujuk ayat no 2), pengabdian itu murni, bersih daripada bercampur-aduk kepada pengabdian kepada yang selainNya.

***

Kisah di awal penulisan ini memaparkan kesungguhan dan kemahuan seorang anak memperturutkan kehendak ibunya meskipun pada hal-hal kecil.

Bagaimana pula dengan kesungguhan dan kemahuan seorang hamba untuk memperturutkan perintah Robbnya dalam segala sudut.

Sedangkan itulah makna pengabdian. Mengikuti segala perintahNya yang terkandung dalam wahyu Al-Quran.

Alif laam, raa. Al-Quran sebuah kitab yang tersusun ayat-ayatnya dengan tetap teguh, kemudian dijelaskan pula kandungannya satu-persatu, adalah dari sisi allah yang maha bijaksana lagi maha mendalam pengetahuannya

supaya janganlah kamu mengabdikan diri kepada sesuatupun melainkan Allah. (Katakanlah wahai muhammad) “Sesungguhnya aku diutus oleh Allah kpada kamu, sebagai pemberi amaran dan pembawa berita gembira.

Huud, 11 : 1-2

Nampak kalimah “supaya” dalam ayat di atas?

Mesej selepasnya memberi kita kefahaman akan tujuan Al-Quran disusun dan dijelaskan iaitu untuk memastikan si hamba hanya mengabdikan diri kepada Allah.

“Apa kaitan Al-Quran dengan pengabdian kepada Allah?”

Pengabdian adalah satu bentuk ketaatan dan kepatuhan kepada yang diabdikan. Justeru pengabdian kepada Tuhan hanya dapat dibuktikan tatkala si hamba peduli taat dan patuh kepada bicaraNya yang sarat tertuang dalam kitab akhir zaman, Al-Quran.

Tatkala Allah memerintahkan kaum Adam dan Hawa menundukkan pandangan dalam surah An-Nur, lalu diikuti dengan ketaatan dan kepatuhan tanpa mengingkari, begitulah definisi pengabdian.

Ketika Allah memerintahkan jangan mengumpat dan jangan berburuk sangka antara sesama dalam Surah Al-Hujuraat, si hamba yang peduli taat dan patuh terhadap perintahNya meskipun gejolak hati terasa enggan, dialah golongan yang mengabdikan diri kepada Allah.

Pengabdian itu bukan sekadar solat dan puasa. Zakat dan haji.

Pengabdian adalah ketaatan terhadap setiap bicara Tuhan dalam Al-Quran.

Faktor pemacu pengabdian bukanlah paksaan semata-mata. Kerana tatkala si hamba benar-benar memaknai erti kesyukuran dalam 3 ayat Al-fatihah sebelumnya, pasti jiwa terasa amat mahu tunduk kepada Dia yang memiliki segala-galanya.

 

Comments

comments

SHARE
Artikel sebelum iniSyukur 3 dimensi
Artikel seterusnyaFormula Pengasih Yang Ramai Terlepas Pandang
Ayat Ibrahim
Graduan dari Universiti Islam Antarabangsa dalam bidang Dietetics. Juga memiliki Master of Education (guidance & counseling) dan sedang melanjutkan PhD in Education (Specialization:counseling). Minat mendidik manusia, bina modul robbani dan suka menulis.

MOHON KOMEN BALAS

Please enter your comment!
Please enter your name here